Sabak

Sabak adalah bandar pesisir di Daerah Sabak Bernam, Selangor, Malaysia. Ia terletak di sudut barat laut Selangor, tepat di sebelah selatan Sungai Bernam, sempadan semula jadi Selangor dengan Perak. Kegiatan ekonomi utama di bandar ini adalah ladang kelapa sawit yang dijalankan oleh individu dan juga organisasi swasta seperti Sime Darby. Bandar ini sedang mengalami pembangunan infrastruktur dengan menambah kedai dan sistem perparitan. Sabak adalah bandar paling utara dan paling barat di Selangor, dan merupakan kawasan paling jauh dari Shah Alam dan Kuala Lumpur. Ia berjarak 2 jam perjalanan di Highway 5 dari pusat bandar Kuala Lumpur. Sabak diwakili di Dewan Undangan Negeri Selangor oleh Sallehen Mukhyi PAS. Di peringkat nasional, bandar Sabak berada dalam kawasan pilihan raya Sabak Bernam, yang diwakili oleh Dato ‘Haji Mohd Fasiah bin Mohd Fakeh, dari UMNO. Bandar Sabak, bersama dengan seluruh daerah Sabak Bernam, membentuk kawasan perbandaran Majlis Daerah Sabak Bernam.

Bagan Nakhoda Omar

Bagan Nakhoda Omar ialah sebuah pekan kecil dalam daerah Sabak Bernam, Selangor, Malaysia. Sesuai dengan namanya, pekan ini terletak berhampiran pantai dan kampung nelayan. Merupakan destinasi istimewa bagi penggemar aktiviti memancing. Terdapat kemudahan chalet dan medan selera. Pantai Bagan Nakhoda Omar merupakan kawasan tumpuan di daerah ini sejak sekian lama. Kini, sekitar kawasan pantai telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk menarik para pengunjung bertandang ke kawasan tersebut. Mengambil masa kira-kira 30 minit dari Pekan Sabak Bernam, Pantai Bagan Nakhoda Omar begitu mudah dihubungi terutamanya melalui jalanraya yang baik dan pengunjung berpeluang untuk menghirup udara yang nyaman bersama keluarga di samping menjamu selera di gerai-gerai yang menyediakan pelbagai hidangan terutamanya makanan laut.

Sg. Air Tawar

Kampung Sungai Air Tawar terletak di daerah Sabak Bernam, Selangor, Malaysia. Antara lokasi berdekatan ialah Kampung Simpang Empat, Kampung Telok Rhu dan Bagan Nakhoda Omar. Sungai Air Tawar diangkat menjadi nama Dewan Undangan Negeri Selangor dan kini diwakili oleh Raja Datuk Ideris Raja Ahmad daripada Barisan Nasional (UMNO). Dari segi geografi, kawasan ini disaliri oleh Sungai Air Tawar yang mengalir ke arah Barat, ke laut Selat Melaka. Jarak dari laut hanya kira-kira 2 km sahaja. Oleh itu penduduk kawasan ini terlibat dengan kegiatan pertanian terutama tanaman padi , kelapa dan kelapa sawit. Di pantai Bagan Nakhoda Omar penduduknya ramai menjadi nelayan. Antara kemudahan awam yang terdapat di sini ialah Klinik Pergigian Sungai Air Tawar , Klinik Kesihatan Sungai Air Tawar ; Balai Polis Sungai Ayer Tawar ; Sekolah Kebangsaan Seri Mawar ; Masjid Ar-rahmaniah ; Masjid Ubudiah ; Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah ; Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Moon Teck ; dan Sekolah Rendah Agama Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar