Gombak

GOMBAK

Daerah Gombak adalah sebuah daerah di dalam Negeri Selangor  yang diwujudkan pada 1 Februari 1974 serentak dengan penubuhan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan. Daerah Gombak merangkumi kawasan- kawasan yang disusun semula seperti berikut :

   > Sebahagian Mukim Ampang (Peralihan daripada daerah Hulu Langat)
   > Mukim Hulu Kelang (Peralihan daripada daerah Kuala Lumpur) 
   > Sebahagian Mukim Setapak (Peralihan daripada daerah Kuala Lumpur)
   > Sebahagian Mukim Batu (Peralihan daripada daerah Kuala Lumpur) 
   > Mukim Rawang (Peralihan daripada daerah Hulu Selangor / Kuala Selangor)

Daerah ini terletak di kawasan Lembah Klang dan bersempadanan dengan :                       

  •    Daerah Hulu Selangor di sebelah Utara
  •    Wilayah Persekutuan dan Daerah Hulu Langat di sebelah Selatan
  •   Daerah Kuala Selangor di sebelah Barat
  •   Daerah Petaling di sebelah Barat Daya
  •   Negeri Pahang Darul Makmur di sebelah Timur laut 

Keluasan Daerah Gombak merangkumi 65,008 Hektar. Keluasan ini adalah yang ketiga terkecil berbanding dengan daerah-daerah lain dalam Negeri Selangor.    

Keadaaan rupa bumi daerah ini adalah berbukit-bukit di kawasan timur, sebahagian kawasan utara dan barat. Manakala di kawasan tengah, keadaan tanah melebihi kepada tanah pamah. Sungai- sungai utama yang mengalir daerah ini ialah Sungai Gombak, Sungai Klang dan Sungai Batu.

Dari segi pentadbiran pengurusan, Daerah Gombak dibahagikan kepada 5 Mukim dan kampung-kampung. Mukim Rawang I merupakan mukim terbesar diikuti pula oleh Mukim Rawang II, Mukim Batu, Mukim Setapak dan Mukim Hulu Kelang. 

Daerah Gombak ditadbirkan oleh 1 Pegawai Daerah, 5 orang penghulu dan 1 pegawai kemajuan kampung baru.

Terdapat 49 buah kampung di daerah Gombak ini, ianya terdiri daripada 35 buah Kampung Tradisional dan 14 buah Kampung Baru.

Kampung-kampung ini pula ditadbir oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.