Ampang

Mukim Ampang terletak di negeri Selangor dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). Sebelum ini, Ampang berada dalam pentadbiran Pejabat Daerah Hulu Langat. Jarak di antara pusat bandaraya Kuala Lumpur dan Ampang hanyalah 9 hingga 11 kilometer sahaja. Yang Berhormat Puan Zuraida Kamaruddin merupakan Ahli Parlimen daerah Ampang (P99) dari Pakatan Rakyat yang mewakili penduduk Ampang dalam Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia sejak tahun 2008. Secara umumnya, Ampang telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Ampang Selangor dan Ampang, Kuala Lumpur (meliputi kawasan disekitar Jalan Ampang menuju ke kawasan sekitar Kuala Lumpur City Center (KLCC). Kawasan Zon Ampang Kuala Lumpur ini telah ditadbir oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengikut Rang Undang-Undang Wilayah Persekutuan. Ampang berasal dari perkataan “ampangan” bermaksud kawasan bekas lombong. Ketika era penjajahan British dan pasca merdeka, Ampang pernah menjadi kawasan perlombongan bijih timah yang terpenting di Selangor. Kerja-kerja pencarian dan perlombongan bijih timah di Ampang ini telah membuka banyak kawasan dan penempatan baru. Ampang yang dulunya hutan belantara telah diterokai bagi kerja-kerja perlombongan ini.