Cyberjaya
Cyberjaya merupakan tulang belakang Koridor Raya Multimedia (MSC) di Malaysia. Bandar yang dibangunkan daripada ladang kelapa sawit ini mempunyai keluasan 2,890 hektar dan terletak di daerah Sepang, Selangor. Cyberjaya berada kira-kira 50 km di selatan Kuala Lumpur, iaitu bersebelahan dengan Putrajaya. Bandar ini diasaskan sebagai bandar pintar mengikut konsep Lembah Silikon di Amerika Syarikat. Upacara perasmian telah diadakan pada Mei 1997 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Setia Haruman Sdn Bhd merupakan pemaju utama Cyberjaya dan merupakan hasil buah fikiran Tun Dr Mahathir. Cyberjaya merupakan satu daripada bandar siber MSC Malaysia yang diharap dapat memacu negara Malaysia ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan. Antara syarikat multinasional yang beroperasi di Cyberjaya ialah BMW, HSBC, DHL Express, Shell, Nokia, Ericsson dan Motorola.