Hulu Selangor
HULU SELANGOR Peretak Batang Kali Ulu Yam Serendah Sungai Tinggi Hulu Bernam Daerah Hulu Selangor (dahulu dieja Ulu Selangor) merupakan salah sebuah daerah yang terletak di utara Negeri Selangor. Dari sudut geografi,Daerah Hulu Selangor terletak di utara Lembah Klang dengan keluasan 174,047 hektar,hampir sama keluasan dengan Negeri Melaka.Jumlah penduduknya lebih kurang 178,500 orang(2005) atau 3.7 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Negeri Selangor,dan kini semakin meningkat sejajar dengan pembangunan semasa. Daerah Hulu Selangor juga merupakan daerah yang terbesar daripada sembilan buah daerah di Negeri Selangor. Ia bersempadan dengan Negeri Perak di utara dan Negeri Pahang di sebelah timur.Daerah yang pada suatu ketika dahulu dikenali sebagai “The Sleeping Hollow” serta terletak di kawasan terpinggir dari limpahan kemajuan negara, kini telah mengorak langkah dengan menggiatkan pembangunan dan kemajuan di semua bidang selaras dengan visi Negeri Selangor ke arah “Negeri Idaman,Maju dan Sejahtera”. Pada masa kini, Daerah Hulu Selangor mampu berbangga dengan wujudnya pelbagai projek mega seperti ikawasan Otomobil Nasional Kedua atau Perodua, kawasan perindustrian, perumahan , pelancongan, Bandar moden di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa, Sungai Buaya, Serendah, Batang Kali dan Lembah Beringin di Kerling. Pembinaan interchange lebuh raya PLUS di Bukit Beruntung dan di Lembah Beringin menambahkan lagi kerancakan pembangunan kawasan ini. Sungai Selangor dahulunya merupakan alat perhubungan utama yang menghubungkan Bukit Fraser bersempadanan dengan Negeri Pahang hingga ke Kuala Selangor dan Sungai-sungai lain seperti Sungai Serendah, Sungai Batang Kali, Sungai Liam, Sumgai Inki, Sungai Kerling dan Sungai Bernam. Kawasan kaki Banjaran Titiwangsa ini kaya dengan bukit-bukau yang menghijau dan telah menarik tumpuan industry pelancongan serta penubuhan institusi pendidikan di daerah ini. Selain rangkaian lebuh raya utara selatan PLUS dan jalan raya utama Persekutuan Kuala Lumpur ke Tanjung Malim, terdapat juga Rangkaian jalan negeri seperti jalan Hulu Yam ke Sungai Tua, Batang Kali ke Genting Highlands, Sungai Tengi ke Batang Berjuntai dan Kuala Kubu Bharu ke Bukit Fraser. Semuanya merupakan pintu masuk ke Daerah Hulu Selangor yang Menjadi Pemangkin ke arah pembangunan yang lebih pesat lagi.