Pelabuhan Klang
Pelabuhan Klang ialah sebuah bandar dan pintu masuk perkapalan utama di Malaysia. Asalnya dikenali sebagai Pelabuhan Swettenham, ia merupakan pelabuhan terbesar dan tersibuk di Malaysia. Terletak di kawasan seluas 806 hektar di daerah Klang, Selangor. Pelabuhan ini merangkumi Pelabuhan Utara, Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Selatan. Pelabuhan Klang menawarkan kemudahan-kemudahan perkhidmatan yang serba lengkap dan tercanggih untuk mengendalikan sebarang jenis dagangan. Ia merupakan pelabuhan pemindahan ke-13 tersibuk di dunia pada tahun 2004, pelabuhan ke-26 tersibuk berdasarkan jumlah tanan kargo yang dikendalikan pada tahun 2005, dan pelabuhan ke-16 tersibuk di dunia pada tahun 2007. Pelabuhan Klang ditadbir oleh Lembaga Pelabuhan Klang di mana organisasi ini terdiri daripada Jemaah Lembaga iaitu Pengerusi yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan sepuluh orang pengarah (termasuk Pengurus Besar), dilantik oleh Menteri Pengangkutan Malaysia.