Gombak
GOMBAK Ulu Kelang Setapak Batu Rawang Daerah Gombak adalah sebuah daerah di dalam Negeri Selangor yang diwujudkan pada 1 Februari 1974 serentak dengan penubuhan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan. Daerah Gombak merangkumi kawasan- kawasan yang disusun semula seperti berikut : > Sebahagian Mukim Ampang (Peralihan daripada daerah Hulu Langat) > Mukim Hulu Kelang (Peralihan daripada daerah Kuala Lumpur) > Sebahagian Mukim Setapak (Peralihan daripada daerah Kuala Lumpur) > Sebahagian Mukim Batu (Peralihan daripada daerah Kuala Lumpur) > Mukim Rawang (Peralihan daripada daerah Hulu Selangor / Kuala Selangor) Daerah ini terletak di kawasan Lembah Klang dan bersempadanan dengan : Daerah Hulu Selangor di sebelah Utara Wilayah Persekutuan dan Daerah Hulu Langat di sebelah Selatan Daerah Kuala Selangor di sebelah Barat Daerah Petaling di sebelah Barat Daya Negeri Pahang Darul Makmur di sebelah Timur laut Keluasan Daerah Gombak merangkumi 65,008 Hektar. Keluasan ini adalah yang ketiga terkecil berbanding dengan daerah-daerah lain dalam Negeri Selangor. Keadaaan rupa bumi daerah ini adalah berbukit-bukit di kawasan timur, sebahagian kawasan utara dan barat. Manakala di kawasan tengah, keadaan tanah melebihi kepada tanah pamah. Sungai- sungai utama yang mengalir daerah ini ialah Sungai Gombak, Sungai Klang dan Sungai Batu. Dari segi pentadbiran pengurusan, Daerah Gombak dibahagikan kepada 5 Mukim dan kampung-kampung. Mukim Rawang I merupakan mukim terbesar diikuti pula oleh Mukim Rawang II, Mukim Batu, Mukim Setapak dan Mukim Hulu Kelang. Daerah Gombak ditadbirkan oleh 1 Pegawai Daerah, 5 orang penghulu dan 1 pegawai kemajuan kampung baru. Terdapat 49 buah kampung di daerah Gombak ini, ianya terdiri daripada 35 buah Kampung Tradisional dan 14 buah Kampung Baru. Kampung-kampung ini pula ditadbir oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.