Tanjung Karang

Tanjung Karang atau kadang-kadang juga dieja Tanjong Karang adalah sebuah mukim, pekan dan kawasan penanaman padi yang terletak di dalam Daerah Kuala Selangor, Selangor, Malaysia. Melalui satu rancangan yang bersistematik, tanaman padi disini telah dimulakan pada tahun 1936.

Pekan Tanjong Karang merupakan kawasan utama di Tanjong Karang dan menjadi tumpuan penduduk tempatan bagi mendapatkan keperluan. Sungai Tengi yang sinonim dengan pekan ini merupakan sebatang sungai yang menyusur ditengah-tengah Pekan. Sebuah jambatan utama dengan empat lorong yang merupakan sebahagian dari Laluan Persekutuan 5 telah dibina bagi menghubungkan Pekan Tanjong Karang yang terpisah oleh bentuk rupabumi semula jadi.

Kemudahan jalan-jalan raya utama yang dibina juga dapat menghubungkan Tanjong Karang dengan mukim-mukim lain di sekitar daerah Kuala Selangor iaitu Api-api, Batang Berjuntai, Ijok, Kuala Selangor, Jeram, Pasangan, Ujong Permatang, dan Ulu Tinggi.